Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera
Kisah kali ini berkisar kepada pokok persoalan yang aku rasa cukup menarik. Dilema di dalam membuat pilihan...kerja atau gaji...yang mana dahulu? Aku pasti setiap insan pernah melaluinya. Biar aku berkongsi pengalaman yang aku lalui di dalam membuat keputusan...kerja atau gaji...yang mana dahulu?
Selepas tamat pengajian ijazah pertama di dalam bidang perakaunan pada tahun 2004 dari UiTM, aku terus mencari kerjaya yang sesuai dengan kelayakan yang aku miliki. Apa sahaja iklan jawatan kosong di dalam sektor kerajaan atau swasta, sudah pasti aku akan menghantar permohonan. Tak kisahlah jawatan yang aku pohon itu setaraf dengan kelayakan yang aku ada atau sebaliknya. Sasaran aku...mesti kerja!
Kerjaya pertama aku bermula sebagai 'Junior Merchandiser' yang bertanggungjawab menyokong operasi pemasaran sebuah syarikat yang terlibat dengan industri tembakau. Adusss...tak kena langsung dengan kelayakan aku! Nak buat macam mana...tawaran itu yang datang dulu...terima ajelah. Gaji yang aku terima cukup lumayan...Basic: RM3500...aku sendiri tak sangka gaji yang ditawarkan melebihi dari yang aku minta setaraf dengan ijazah. Bukan gaji sahaja, macam-macam kemudahan aku dapat...kenderaan, laptop, elaun dobi, elaun telefon dan bonus (2 bulan gaji).
Penghujung tahun 2004, aku ditawarkan bekerja sebagai Penolong Akauntan di sebuah IPTA di pantai timur. Gaji yang ditawarkan tak sampai 2K pun! Ha...nak pilih kerjaya atau gaji? Akhirnya aku terima tawaran dari IPTA tu. Keputusan yang aku buat memang berat tapi aku nekad sebab inilah bidang yang aku cari walaupun aku terpaksa lepaskan pendapatan yang agak lumayan. Terasa juga bila kemudahan yang diterima sebelum ini hanya tinggal kenangan. Bila di dalam keadaan macam ni, kenalah bijak merancang dan mengurus sumber kewangan yang ada. Pepatah ada menyebut..."hidup biarlah berpada-pada".
Itu kisah aku...antara kerjaya dan gaji...aku pilih kerjaya dahulu. Bagi aku apabila kita memilih kerjaya kita akan terus berusaha kerana itulah punca rezeki kita. Gaji akan meningkat seiring dengan usaha kita meningkatkan kecemerlangan di dalam kerjaya. Anda macam mana....?






No comments:
Post a Comment